
KUALA LUMPUR - Kerajaan disyor untuk mempertimbangkan kemungkinan menjadikan mengundi sebagai satu kewajipan susulan sambutan hambar pengundi di tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka, Sarawak dan Johor.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, langkah itu bukan sesuatu yang baharu kerana sudah diamalkan banyak negara lain termasuk Singapura.
Menurut beliau, langkah itu wajar diambil susulan pelaksanaan pendaftaran automatik pengundi yang mencapai usia 18 tahun seperti termaktub dalam Undi18.
“Masalah yang dihadapi negara pada pilihan raya seperti di Johor adalah disebabkan sebahagian besar rakyat tidak mahu mendaftar sebagai pengundi, jadi jika mereka tak mahu mendaftar, bagaimana mereka nak keluar mengundi.
“Pendekatan ini boleh diambil jika tiada cara lain untuk menggalakkan pengundi keluar menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku bertajuk ‘Pilihan Raya Demokrasi di Malaysia’.
Buku terbitan Universiti Malaya (UM) itu adalah nukilan bersama Ab Rashid dan wartawan veteran, Dr G Manimaran.

Mengulas lanjut Ab Rashid berkata, langkah tersebut adalah cadangan pelbagai pihak yang disampaikan kepadanya, selepas bimbang dengan sambutan hambar pengundi pada tiga PRN baru-baru ini kerana ia boleh menjejaskan sistem demokrasi negara.
Ketika ditanya sama ada bersetuju dengan cadangan itu, Ab Rashid berkata, beliau memberi sokongan penuh jika pendekatan tersebut mampu menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab berkenaan.
“Ia boleh dilaksanakan, namun memerlukan langkah undang-undang dan perbincangan secara terbuka oleh semua pihak berkepentingan.
“Jika kerajaan mahu peratus keluar mengundi tinggi pada pilihan raya akan datang, undi wajib perlu dilaksanakan, lagi pun banyak negara sudah mengamalkannya,” katanya.
Sementara itu, Manimaran yang juga ahli Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) berkata, beliau turut bersetuju dengan langkah terbabit, namun ia memerlukan kajian mendalam oleh semua pihak.
“Apa yang berlaku pada PRN sebelum ini amat membimbangkan kerana ia mungkin akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pilihan raya.
“Pada pendapat saya, tiada guna pendaftaran automatik dilaksanakan jika peratusan yang keluar mengundi semakin kurang saban tahun,” katanya. - Getaran, 21 Mac 2022

