Tebasan parit perlu dibuat empat kali setahun elak limpahan air

17 Mar 2022 • 4:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 17 MAC: Tebasan parit di kawasan saliran perlu ditingkatkan empat kali setahun berbanding tiga kali ketika ini bagi mengelak limpahan air.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berkata cadangan itu perlu dikaji semula berikutan keadaan iklim tidak menentu terutama hujan lebat.

“Penduduk bimbang rumput dalam parit yang cepat tumbuh akibat jarak masa hampir empat bulan sekali bagi setiap tebasan yang boleh menyebabkan limpahan air jika hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rozana turut mencadangkan binaan lintasan pembetung dirujuk ke pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya bagi memastikan aliran air dalam parit lancar.

“Apabila saiznya tidak sesuai, air tidak dapat melalui dengan lancar dan melimpah seterusnya menyebabkan banjir serta masuk ke rumah penduduk,” katanya.