
Kota Kinabalu: Sabah merekodkan jangkitan sporadik tertinggi yang pernah direkodkan di negeri ini iaitu 71.18 peratus daripada jumlah jangkitan 2,717 kes pada Khamis.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata selain Kota Kinabalu yang mana hampir 84 peratus kes baharunya adalah jangkitan sporadik dalam komuniti, 23 dari 27 daerah juga memperlihat trend yang sama di mana kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah-daerah berkenaan.
“Atas sebab inilah kita selalu menyeru rakyat agar mematuhi semua SOP sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes empat angka iaitu 1,350 kes pada Khamis di mana angka itu adalah 49.68 peratus atau hampir separuh dari jumlah keseluruhan kes baharu negeri Sabah.
“Bagaimanapun sebahagian besar dari jumlah kes di Kota Kinabalu merupakan kes-kes tertunggak yang baru didaftarkan.
“Sebagai misalan, 556 kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu pada hari ini adalah kes-kes tertunggak melebihi 9 hari,” katanya.
Sabah turut merekodkan tujuh kematian pada Khamis yang berlaku di Kota Belud (2 kes) dan Tenom (2 kes) dan masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Sipitang.
Seramai 3,985 pesakit COVID-19 sembuh pada Khamis termasuk yang discaj dari hospital/PKRC manakala 1,543 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 990 orang di hospital, 535 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 15 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara dan tiga (3) orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 63 orang merangkumi 54 di ICU serta 9 di ward terbuka dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Setakat ini, PICKids Sabah telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 53,371 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara 511 tahun yang layak divaksin.
Tiada kluster baharu direkodkan pada Khamis.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

