8 Kenderaan Rosak Teruk, Dihempap Bongkah Batu

10 Mar 2022 • 9:01 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Salah sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan teruk akibat ditimpa bongkah batu di Taman Bukit Permai, Pandan Indah, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR - Lapan kenderaan rosak teruk setelah ditimpa bongkah batu yang jatuh dari bukit berhampiran dalam kejadian di Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam insiden pada kira-kira 4.30 pagi itu, bongkah batu menghempap kenderaan terbabit yang diletakkan di kawasan parkir Blok 4 pangsapuri berkenaan.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa. Siasatan awal polis mendapati kejadian itu disebabkan bencana alam susulan hujan lebat dan angin kencang," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

image is not available
Antara kenderaan yang rosak akibat ditimpa bongkah batu di Taman Bukit Permai, Pandan Indah, awal pagi tadi.

Menurut Mohamad Farouk, laporan polis yang dibuat oleh pengadu dirujuk kepada agensi lain dan tiada kertas siasatan dibuka.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak meletakkan kenderaan di bawah bukit atau pokok susulan kekerapan berlaku insiden pokok tumbang atau tanah runtuh yang disebabkan angin kencang serta hujan lebat. - Bernama