Mayat ditemui dalam gaung di Jalan Bukit Putus Lama

20 Mar 2022 • 7:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Mayat dipercayai seorang perempuan dalam keadaan tertiarap ditemukan di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Bukit Putus Lama di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat berkenaan ditemui jam 10.50 pagi oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang joging di lokasi.

"Lelaki itu yang mahu mengambil gambar terkejut melihat mayat terbabit dan telah maklumkan kepada renjer yang bertugas di Pejabat Perhutanan Ulu Bendul, Kuala Pilah.

"Renjer terbabit telah maklumkan kepada polis yang kemudian telah buat pemeriksaan di lokasi," katanya kepada media pada Ahad.

Ujarnya, Unit Pengesan Anjing (K9) yang membuat siasatan di lokasi tidak menemui sebarang kesan yang boleh membantu siasatan.

Katanya, sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.