Pemandu Toyota Hilux sudah ditahan bantu siasatan

21 Mar 2022 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki warga tempatan berusia 30-an itu ditahan di pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam 11.30 pagi Ahad.

"Lelaki tersebut dipercayai memandu secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan dalam kejadian Jumaat lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, tular satu klip video durasi satu minit 35 saat di Facebook yang menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu secara berbahaya apabila beberapa kali menghimpit sebuah kereta.

Aksi itu menyebabkan warganet mengecam pemandu kenderaan berkenaan selain melabelnya sebagai pembuli di jalan raya.

Susulan daripada itu, polis giat mengesan pemandu Toyota Hilux berkenaan dan pemandu kenderaan yang dihimpit dalam kejadian itu untuk tindakan lanjut.