
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] DRB-Hicom melabur sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) Di Proton City, Tanjung Malim, Perak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu pada Sabtu memaklumkan, pelaburan berkenaan bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan serta 161,000 sepanjang fasa operasi.
Selain itu katanya, kerajaan juga memperkenalkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion sekali gus memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal seperti peniaga kecil.
“Melalui program ini, contohnya, kerajaan menyediakan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM dan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah.
“Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta,” katanya ketika penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Sabtu.
Tambah Ismail Sabri, bagi usahawan agromakanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 tanpa faedah serta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

