Majoriti Pesakit BID COVID-19 Tidak Tahu Dijangkiti Virus

Health & Fitness
3 Mar 2022 • 3:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Melalui tinjauan yang dijalankan KKM, lebih 50 peratus waris menganggap pesakit COVID-19 hanya mengalami sakit ringan dan mereka tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan dengan cepat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Sebanyak 91 peratus atau kira-kira 105 daripada 115 pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di luar fasiliti atau Brought In Dead (BID) tidak mengetahui mereka dijangkiti virus tersebut, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau memaklumkan, data itu diperoleh daripada analisa Kementerian Kesihatan (KKM) pada 5 hingga 21 Februari lalu.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa hanya mengetahui pesakit dijangkiti COVID-19 selepas disaring di hospital.

“Sebab itu saya keluarkan nasihat terutamanya yang ada ibu bapa yang berusia warga emas, kalau ada apa-apa gejala, demam suhu tinggi, batuk berterusan, tolonglah bawa ke fasiliti kesihatan secepat mungkin.

“Melalui survey (tinjauan) kita (KKM) buat, lebih daripada 50 peratus waris anggap bahawa pesakit hanya mengalami sakit ringan dan mereka tak merujuk kepada fasiliti kesihatan dengan cepat.

“Apabila dikesan terlalu lambat, mereka meninggal dunia di rumah dan luar daripada fasiliti kesihatan,” katanya pada sidang media yang turut disiarkan secara Langsung di Facebook KKM.

Hari ini, negara merekodkan 115 kes kematian akibat COVID-19 semalam, berbanding 75 kes pada hari sebelumnya.

Angka kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat virus terbabit adalah sebanyak 32,942 orang daripada 3.4 juta kes positif dikesan di negara ini. - Getaran, 3 Mac 2022.