Suspek Vandalism Rosakkan Kereta Diburu Polis

25 Mar 2022 • 5:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar dari video yang tular di media sosial menunjukkan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes mencalar dan merosakkan sebuah kenderaan di hadapan pejabat di Jalan Pandan Indah, di sini, pada Rabu. -

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes mencalar dan merosakkan kereta di hadapan pejabat di Jalan Pandan Indah di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa seorang wanita berumur 21 tahun telah meletakkan kereta jenis Perodua Myvi di tepi jalan berhadapan pejabatnya pada kira-kira jam 2 petang.

"Ketika mangsa hendak pulang kira-kira jam 6.50 petang, mangsa mendapati kereta miliknya telah dicalarkan manakala cermin sisi kiri dan kanan turut patah.

"Selain itu mangsa juga mendapati pengelap cermin keretanya patah, selain ekzos bengkok dan kenderaannya itu turut dilitupi dengan span tilam," katanya hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa tidak mempunyai masalah dengan mana-mana individu.

Katanya, mangsa yang mengalami kerugian lebih RM1,000 tampil membuat laporan polis dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Polis telah mengesan satu video yang dirakam penduduk sekitar, menunjukkan seorang wanita berbaju merah telah merosakkan kereta mangsa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 49 saat yang dirakam saksi menunjukkan seorang wanita sedang mematahkan cermin sisi dan merosakkan kereta tular di media sosial. - Getaran, 25 Mac 2022.