
Bermula sahaja cuti sekolah ramai ibu bapa akan membawa anak-anak mereka bercuti di tempat yang menarik yang terletak di seluruh negara. Cuti bukan sahaja terhad pada anak-anak yang bersekolah tetapi cuti ini juga memberi peluang kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja untuk bercuti bagi melepaskan tekanan. Pada artikel kali ini saya ingin berkongsi dengan anda lima tempat menarik yang ada di sekitar ibu negara Kuala Lumpur.
Pusat Planetarium Negara
Jika anda seorang peminat angkasa lepas atau bercita-cita untuk menjadi angkasawan, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Pusat Planetarium Negara. Terletak di Jalan Perdana Kuala Lumpur dengan keluasan 1200 hektar banggunan yang sinonim dengan kubah biru ini menempatkan banyak pameran berkenaan sains angkasa. Tarikan pertama yang patut anda lihat di sini ialah space theatre. Pertunjukan ini akan membuat anda dapat melihat angkasa dalam bentuk filem. Tiket masuk untuk pertunjukkan ini adalah RM12 bagi dewasa dan RM 8 bagi kanak-kanak. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan untuk masuk ke galeri. Selain itu tarikan yang lain adalah enjin angkasa lepas iaitu adrienne IV yang digunakan untuk melancarkan satellit pertama Malaysia iaitu Measat.
Pusat Sains Negara
Tiket dewasa RM6 manakala tiket kanak-kanak RM3 tiket yang sangat murah untuk masuk ke Pusat Sains Negara. Jika anda berkunjung ke sini pastikan anda membawa anak anda sekali. Di sini bukan sahaja tempat untuk berjalan malahan tempat untuk belajar. Banyak permainan yang berteraskan sains dari segenap aspek seperti Fizik, Kimia serta sains asas berada di sini. Jadi jika anda mahu anak anda belajar sambil bermain Pusat Sains Negara sangat sesuai untuk itu. Selain itu ada juga pameran dinosaur bergerak tetapi harga tiket ini berbeza dengan harga tiket kemasukan yang dinyatakan tadi. Di samping itu, tempat ini juga mempunyai banyak spot instagrammable bagi anda yang suka bergambar.
Muzium Negara
Terletak di Jalan Damansara Tasik Perdana Muzium Negara juga boleh dijadikan tempat yang anda boleh lawati ketika berada di ibu negara. Jika anda seorang penggemar sejarah negara, anda patut lawati tempat ini. Di sini menempatkan pelbagai sejarah negara dari pelbagai era. Anda boleh melihat sejarah penubuhan melaka serta zaman kegemilangan Melaka sebagai pusat tumpuan dunia pada kurun ke 15. Di samping itu, anda juga boleh melihat penubuhan Tanah Melayu dan bagaimana orang dahulu mempertahankan tanah air daripada dijajah. Selain itu, ada juga replika serta artifak-artifak yang menarik ditempatkan di sini. Tiket kemasukan adalah RM2 bagi warganegara Malaysia serta RM5 bagi bukan warganegara.
Pasar Seni
Bagi kaki membeli-belah terutamanya cenderamata marilah berkunjung ke pasar seni. Terletak di Jalan Hang Kasturi anda boleh berkunjung ke sini dengan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT atau LRT. Di sini terdapat pelbagai barangan cenderamata seperti kain songket, ukiran kayu borneo, dan pelbagai lagi. Selain itu, anda juga boleh melawat muzium 3D Art ketika anda berada di sini. Ruangan makan seperti foodcourt ada disediakan untuk anda menjamu selera.
KLCC
Terakhir sekali adalah untuk anda yang gemar membeli-belah. Jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke KLCC. Di sini terdapat pelbagai barangan berjenama yang anda boleh beli. Anda juga boleh membawa anak anda untuk berkunjung ke Petrosains untuk pengalaman bermain sambil belajar. Pada sebelah malam pula anda disajikan dengan pertunjukan air yang berwarna warni seiring dengan muzik di perkarangan KLCC.
Akhir Kata
Jika anda seorang yang gemar berjalan, jangan lupa untuk melawati tempat yang dikongsikan dalam artikel ini. Selain dapat membantu meningkatkan ekonomi negara mungkin kita boleh mengambil teladan dan belajar menghargai sejarah negara kita sendiri.
Muhammad Khairul adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
