
KOTA BELUD: Ibu bapa disaran untuk membudayakan amalan menabung demi masa depan dan kesejahteraan anak-anak.
Penyelaras Program Si Cilik ke Sekolah Bersama Simpan SSPN, Datuk Japlin Akim berkata inisiatif kerajaan menubuhkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sewajarnya direbut oleh ibu bapa, khususnya sebagai persediaan awal mereka untuk melanjutkan pelajaran kelak.
“Kos pendidikan dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan orang ramai perlu membuat persediaan awal bagi mengelak berdepan dengan masalah kewangan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak.
“Hari ini pun kita semua terpaksa akui bahawa kos pendidikan sudah cukup tinggi dan membebankan, apatah lagi untuk masa 15 atau 20 tahun akan datang.
“Oleh itu, saya sarankan agar ibu bapa segera memanfaatkan SSPN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Si Cilik ke Sekolah Bersama Simpan SSPN 2022 kawasan Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said Kota Belud di sini, Rabu.
Hadir sama ialah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Seramai 100 murid dari lapan Tadika Kemas di daerah ini menerima sumbangan akaun SSPN bernilai RM100 dan beg sekolah setiap seorang.
“Kempen menabung melalui SSPN mempunyai banyak kelebihan dengan simpanan serendah RM20 bagi pembukaan akaun dan membuat penambahan deposit untuk akaun anak-anak.
Japlin berkata, program SSPN diharap dapat memberi pendedahan terutama kepada pelajar luar bandar untuk lebih berdaya saing dalam bidang pendidikan, sekaligus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan keluarga.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
