Memandu Di Lorong Motosikal, Lelaki Ditahan Selepas Video Tular

19 Mar 2022 • 10:32 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta yang memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Wisma CIMB, Jalan Pantai Baharu, semalam. - Gambar dari media sosial

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memandu menggunakan lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Wisma CIMB, Jalan Pantai Baharu, semalam.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan selepas diminta hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur jam 6.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Sarifudin Mohd Salleh berkata, tindakan lelaki itu dikesan berdasarkan video yang tular di Facebook sejak semalam.

Menurutnya, video berdurasi 30 saat itu dimuatnaik seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mazli Alias.

“Kenderaan terlibat adalah sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang telah menggunakan lorong motosikal.

“Suspek telah berjaya dikesan dan tangkapan dijalankan terhadap lelaki berusia 30 tahun tersebut apabila diminta hadir ke balai,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Difahamkan, ketika kejadian, Lebuhraya Persekutuan menghadapi kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - Getaran, 19 Mac 2022