
Menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk melakukan ibadah umrah dan haji adalah idaman setiap umat islam.
Jika tak berpeluang untuk menunaikan haji, diberi kenikmatan menunaikan umrah juga sudah cukup menggembirakan sesiapa sahaja.
Namun lain pula dengan kisah keluarga ini apabila pemergian ayah mereka ke kota suci itu bukan sekadar menunaikan umrah selama dua minggu sebaliknya akan terus menetap di sana.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Zakiah Nuraihan yang menggunakan akaun @leesaridzki212 telah berkongsi momen sewaktu mereka sekeluarga mengiringi ayahnya, Muhammad Shaharuddin bin Saadon, 65, di lapangan terbang sebelum berlepas ke tanah suci pada Isnin, 7 Mac 2022.
Menurut Zakiah Nuraihan, ayahnya nekad berbuat demikian selepas kematian isteri tercinta justeru beliau berhajat untuk terus fokus dalam melakukan ibadah di Mekah sepanjang hidupnya.
Meskipun terasa berat, Zakiah Nuraihan dan 3 adik beradiknya bersetuju untuk menunaikan permintaan ayah mereka demi kebahagiannya.
“Kalau ikutkan memang berat hati nak bagi pergi, tapi untuk kebahagian dia, kami adik beradik ikhlaskan.
“Sepatutnya berangkat pada Mac 2020. Dah lama dia impikan, lepas pada arwah mama meninggal. Tapi pada permulaan tu kami halang, minta ayah tangguhkan sebab saya sedang sarant mengandung dan adik akan menduduki STPM. Tapi tak sangka lepas saya habis pantang, terus PKP. Bila sempadan dah buka, Alhamdulillah dapat rezeki ayah untuk ke sana.”
Kata Zakiah Nuraihan kepada BuzzKini.
Difahamkan, keberangkatan beliau selama dua minggu ini akan ditemani oleh seorang ustaz. Namun selepas menguruskan dan memberi tunjuk ajar di sana, ustaz ini akan pulang ke Malaysia manakala pakcik Shaharuddin yang berasal dari Hulu Langat, Selangor ini akan terus tinggal di rumah sewanya yang tidak jauh dari Masjidil Haram.
“Ayah akan tinggal di Mekah. Ayah memang nak habiskan masa dekat Kaabah, malah bilik sewa pun berdekatan,” kata Zakiah yang turut berharap rezeki perniagaannya bersama suami diperluaskan agar dapat menabung dan bertemu bapanya di sana.
Harap ada yang bertegur sapa dengan ayah
Wanita ini dalam sama turut berharap jika ada jemaah umrah yang terserempak dengan ayahnya di sana untuk bertegur sapa dengan beliau.
“Saya harap kalau ade yg pergi umrah, bolehla tegur ayah saya di sana. Ayah seorang yang peramah.”

