Timbang keputusan tangguh bina CIQ Kalabakan: Hajiji

30 Mar 2022 • 3:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mahu kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, Kalabakan selepas peruntukannya diumum dalam Belanjawan 2020.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pembinaan CIQ itu adalah projek yang amat penting untuk Sabah kerana menjadi laluan sempadan antara negeri itu dan Nusantara di Kalimantan Timur yang akan menjadi ibu negara baharu Indonesia.

“Kita akan berbincang dengan pihak Persekutuan kerana bagi kita ini adalah satu projek yang cukup penting dan tidak boleh ditangguhkan. Projek ini amat perlu bagi Sabah supaya satu laluan yang boleh digunakan untuk mereka (pengunjung) masuk ke Sabah atau ke Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Hajiji berkata projek itu seharusnya menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan agar kemasukan pengunjung ke Sabah dari kawasan Kalimantan terkawal selain mengelak wujudnya laluan tikus jika pembinaan ditangguhkan.

Ahad lepas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan menangguhkan pembinaan CIQ itu dilihat bakal merugikan ekonomi Sabah berikutan tempias ekonomi boleh diperoleh Sabah terutama di pantai timur apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan Timur.

Pada 23 Mac lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen dilaporkan berkata pembinaan CIQ di Kalabakan yang bernilai RM600 juta ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan oleh Kementerian Kewangan.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata kerajaan negeri juga sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan rundingan bersama kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas kepada negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga menyasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.

“Bagi tahun 2021, kerajaan negeri telah menerima sejumlah RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) yang merupakan peningkatan sebanyak 12.9 peratus berbanding 2020,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.