Sumber benih pokok ganja penyanyi nasyid disiasat

26 Mar 2022 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PETALING JAYA - Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui sumber benih atau anak pokok ganja yang ditanam di kediaman seorang bekas penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal di Kota Damansara, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, soal siasat masih dijalankan sama ada suspek memperolehnya daripada medium dalam talian atau pun pembelian menerusi individu tertentu.

Menurutnya, kes ini masih lagi dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Setakat ini siasatan memfokuskan terhadap tangkapan terlebih dahulu dan tidak melibatkan individu lain.

"Kita juga akan meneliti lebih lanjut untuk mengetahui sama ada suspek mendapatkan benih ganja itu daripada pembelian online atau individu lain," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Serbuan polis pada Khamis bertindak menahan suspek berusia 47 tahun itu bersama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanamnya sejak dua bulan lalu.

Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Mohamad Fakhrudin dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.