Air Pulau Pinang: Perak tentukan keputusan

LocalPolitics
4 Mar 2022 • 10:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MUAR - Keputusan kerajaan Perak untuk tidak meneruskan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang dibuat atas kapasiti bidang kuasa negeri berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal itu disebabkan sumber air terletak di bawah urusan kerajaan negeri masing-masing, selain Perak juga menjelaskan berhubung keputusan itu.

"Menjelang 2035 dijangka Perak akan dapat lebih kurang tiga juta rakyat dan oleh itu ia melihat keperluan dalam negeri yang diutamakan dulu,” katanya selepas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam Jumaat.

Menurut Tuan Ibrahim, rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan yang negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak.

Beliau berkata, perjumpaan bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah diadakan bagi membincangkan tentang sumber bekalan air.

Tuan Ibrahim berkata terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan Pulau Pinang, antaranya melakukan penerokaan baharu termasuk sumber air bawah tanah.

Pada Khamis, Perak memuktamadkan tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu tidak mencukupi sepenuhnya. - Bernama