Redmi 10 5G: dijangka menjadi telefon 5G Xiaomi termurah tahun ini

Digital
30 Mar 2022 • 12:57 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Turut sama membuat kemunculan di pentas pelancaran Xiaomi hari adalah telefon pintar pertama Redmi yang menyokong 5G, Redmi 10 5G. Ia menyertai pelancaran Redmi Note 11S 5G dan Redmi Note 11 Pro+ 5G, menjadi satu lagi telefon pintar 5G Xiaomi yang pastinya akan ada harga lebih mampu milik.

Bagaimanapun, Xiaomi Malaysia belum menyatakan bilakah ia akan dijual di Malaysia. Harga jualannya juga belum diberitahu. Untuk rujukan, Redmi 10 5G diumumkan harga jualannya di Amerika Syarikat iaitu:

  • Redmi 10 5G (RAM 4GB + Storan 64GB) – USD199 (~RM838)
  • Redmi 10 5G (RAM 4GB + Storan 128GB) – USD229 (~RM964)

image is not available

Dijangka harganya jika tiba di Malaysia kelak, akan bermula di bawah RM800. Untuk rujukan harga, Poco M3 Pro 5G dijual bermula dari RM699 (4+64) manakala Redmi Note 10 5G berharga RM799 (8+128).

Spesifikasi Redmi 10 5G

image is not available

Sekali lagi, ini adalah satu lagi telefon yang dilihat hanya disalin kulit oleh Xiaomi. Sebab, ia sangat mirip dengan telefon pintar Poco M3 Pro 5G dan Redmi Note 10 5G yang dilancar tahun lepas.

Persamaan utamanya adalah penggunaan cip 5G termurah Mediatek iaitu Dimensity 700. Di Redmi 10 5G, kuasa ini dipadankan dengan RAM LPDDR4x sehingga 6GB dan storan dalaman UFS2.2 sehingga 128GB. Kad mikroSD sedia diterima, sehingga 512GB.

image is not available

Skrinnya mungkin sedikit berbeza dari segi saiz. Ia berukuran 6.58-inci tetapi persamaan adalah jenisnya LCD HD Penuh dan ada kadar penyegaran dinamik 90Hz. Di samping itu, ada kaca Corning Gorilla Glass 3 di atas skrin. Sudah pasti, tiada pengimbas capjari di dalam skrin sebaliknya terletak di sisi telefon.

Kuasa pengecas dan kapasiti bateri juga sama. Ia ada bateri 5,000mAh dan sokongan pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Kepala pengecas berkuasa 22.5W dan kabel USB-C disertakan di dalam kotak, tawaran yang sama disediakan pada Poco M3 Pro 5G dan Redmi Note 10 5G.

image is not available

Jika mahu dikatakan perbezaan, ia adalah pada rekaan badan dan spesifikasi kamera. Redmi 10 5G menggunakan rekaan badan yang rata di sisi, dipopularkan kembali oleh iPhone 12 tahun lepas. Pilihan warna badan ada tiga, antara Hijau, Kelabu dan Perak.

Kamera belakang pula ada dua sahaja, bukan tiga tetapi dilihat lebih baik. Dua kamera itu adalah kamera utama 50MP F1.8 dan kamera potret 2MP F2.4. Kamera hadapannya cuma 5MP F2.2, terletak di dalam takuk kecil di dahi skrin.

image is not available

Satu perkara yang boleh dikatakan kelebihan pada Redmi 10 5G berbanding Poco M3 Pro 5G dan Redmi Note 10 5G adalah sistem operasi (OS). Ini kerana Redmi 10 5G datang bersama OS MIUI 13 yang lebih baharu, berasaskan Android 12.

Bagi sistem bunyi, Redmi 10 5G hanya ada speaker mono tetapi masih terdapat jek audio 3.5mm. Cuma, pemancar infra merah seperti sudah tiada padanya.

Bacaan Berkaitan