Penjual ikan nafi edar lebih 100g syabu

15 Mar 2022 • 12:49 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang penjual ikan berusia 38 tahun meminta dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin, atas pertuduhan mengedar 101.83 gram syabu.

Al Aznher Ahmad, yang dibawa ke hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dirangka di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Aznher didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7.45 malam, 7 Jan 2021 di kawasan rumah pangsa, Kg Sembulan Tengah di sini.

Pertuduhan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli menjalankan pendakwaan, sementara Aznher diwakili peguam Azhier Farhan.

Aznher diperintah reman lanjut kerana pertuduhan yang dibuat terhadapnya tidak mempunyai peruntukan untuk diikat jamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, seorang wanita berusia 26 tahun yang didakwa atas tuduhan menyalahgunakan harta secara tidak jujur, telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Mahkamah membuat perintah itu ke atas Viona Beverllyne, yang kesnya dijadualkan untuk perbicaraan pada Isnin.

Terdahulu, peguam Amli Nohin yang mewakili Viona, yang memohon kes itu diberi DNAA, memberitahu mahkamah bahawa tiada saksi pendakwaan tersedia untuk perbicaraan serta pegawai penyiasat tidak hadir, yang disahkan oleh pihak pendakwaan.

Amli berhujah bahawa ia tidak adil bagi Viona, yang kini bekerja sebagai jururawat di Perak, kerana menyebabkan dia menanggung kos dan masa kerana datang jauh dari Perak, sambil menambah dia dijadualkan pulang ke Perak pada 17 Mac.

Viona didakwa menyeleweng RM4,487.70 milik Syarikat Sahabat Jaya Enterprise, untuk kegunaannya sendiri antara 19 Okt 2019 dan 21 Dis tahun yang sama di syarikat tersebut di Jalan Tuaran, Inanam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun, dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.