5 Tempat-tempat Dilarang Duduk Mengikut Islam | Bahagian 2

Lifestyle
26 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: 5 Tempat-tempat Dilarang Duduk Mengikut Islam | Bahagian 2

Sebelum ini saya ada kongsikan 5 tempat-tempat yang dilarang duduk buat orang Islam, menurut hadith-hadith dan mengikut tindak tanduk Rasulullah S.A.W (Sesungguhnya akhlak Rasulullah S.A.W. itu adalah al-Quran — Hadith Riwayat Muslim). Kali ini saya nak kongsikan lima (5) lagi tempat-tempat yang dilarang duduk berdasarkan ajaran Islam.

  • Dilarang duduk apabila jenazah dibawa ke perkuburan

Tatkala jenazah dibawa dari dalam keranda ke perkuburan sebelum jenazah dikebumikan, ada beberapa perkara yang perlu diingat dan dilarang daripada melakukannya iaitu:

  1. Membaca atau berbicara dengan suara yang kuat.
  2. Membawa obor api menuju ke tanah perkuburan.
  3. Duduk apabila mengikut jenazah dan kumpulan pengiring ke perkuburan sebelum jenazah diturunkan.
  4. Duduk apabila ada iringan jenazah ke perkuburan lalu di hadapan.
  5. Mengizinkan wanita mengiringi jenazah — Dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ummu ‘Athiyah, dia berkata: “Kami (para perempuan) dilarang mengiringi jenazah. Namun larangannya tidak terlalu keras bagi kami.” Dalam hadith ini, Rasulullah S.A.W. melarang wanita menghantar jenazah, meskipun larangan itu tidak terlalu keras.

Maka jika dilihat seperti di atas, ada dua perkara larangan untuk duduk sekiranya ada jenazah (lalu di hadapan atau sebelum diturunkan ke perkuburan).

Berdasarkan riwayat Amir bin Rabi’ah, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Apabila kalian melihat jenazah maka berdirilah hingga jenazah telah meninggalkanmu atau diletakkan (di atas tanah).” (Riwayat Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Al-Jana’iz, al-Qiyami lil-Janazah, jilid 2, halaman 107)

  • Dilarang duduk dengan orang yang berpenyakit berjangkit

Jika anda tidak sihat atau ada penyakit berjangkit, jangan kecil hati kalau sahabat, kenalan atau sesiapa pun tidak mendekati anda. Ini kerana terdapat hadith yang menasihatkan untuk orang sihat tidak mendekati orang yang berpenyakit berjangkit dan sebaliknya. Tatkala waktu pandemik Covid-19 melanda, terdapat banyak fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama kebanyakan negara tentang langkah-langkah menangani penularan wabak termasuk di masjid-masjid seperti solat berjarak dan sebagainya.

Diceritakan oleh Abu Hurairah, Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Haiwan peliharaan (lembu, kambing, unta, dsbnya) yang berpenyakit jangan dicampurkan dengan haiwan peliharaan yang sihat. Begitu juga jangan meletakkan seseorang yang berpenyakit (tidak sihat) dengan seseorang yang sihat (sebagai langkah berjaga-jaga).” (Riwayat al-Bukhari (Sahih), 5771)

Sumber: Sunnah.com

Maka, jangan berkecil hati atau menyalahkan ahli agama tentang perkara ini. Sebagai manusia biasa, kita doakan yang baik-baik sahaja.

  • Dilarang duduk atau bergaul dengan seorang yang fasiq

Kalau dilihat dalam kamus, dari segi bahasa fasiq ini maksudnya keluar dari sesuatu atau menyimpang dari perintah. Kalau dilihat dari segi istilah pula, seorang yang fasiq itu maksudnya seorang yang menyaksikan tetapi tidak menyakini atau tidak melaksanakannya. Maka dari segi agama, ia bermaksud seorang yang tahu tentang perintah Allah S.W.T. tetapi tetap melakukan perkara-perkara yang dilarang seperti melakukan maksiat, melakukan dosa-dosa besar, menyimpang dari ajaran Islam dan seangkatan dengannya.

Surah Al-An’aam (6), Ayat 68
Sumber: Muslimpro

Surah Al-An’aam (6), Ayat 70
Sumber: Muslimpro

Maka, elakkanlah duduk dengan orang-orang yang fasiq melainkan sebagai peringatan dan menyedarkan diri sendiri supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan dosa. Namun, lebih afdal untuk menjauhkan diri daripada mereka supaya kita sendiri tidak terpesong disebabkan pergaulan dengan mereka.

  • Dilarang duduk di meja yang menghidangkan arak

Berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.” (Riwayat al-Haithami)

Hadith di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja meminum arak itu diharamkan bagi sesiapa yang beriman kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat tetapi duduk di majlis atau dengan orang (walaupun sekiranya bukan Islam) yang menghidangkan arak berhampiran juga diharamkan.

Namun begitu, janganlah marah-marah mengamuk pula sekiranya anda berada dalam situasi ini. Perkara paling mudah dan terbaik dilakukan ialah dengan memohon maaf dan meninggalkan tempat tersebut agar tidak menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pihak lain, tidak melakukan perkara yang ditegah agama dan untuk kebaikan bersama.

  • Dilarang duduk dengan orang yang jahil

Kenapa kita dilarang duduk dengan orang yang jahil? Supaya kita tidak sakit hati dan kepala apabila berbicara dengan mereka. Lainlah kalau kita mempunyai kekuatan seperti imam Syafi’i dałam menghadapi orang-orang yang jahil.

Imam Syafi’i pernah berkata: “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, karena orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Mengikut Dewan Pengajian Al Imam As-Syafi’i, karya Yusuf Asy-Syekh Muhammad Al-Baqa’i, Imam Syafi’i berkata:

“Apabila orang jahil mengajak berdebat denganmu, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak menganggapi. Apabila kamu melayani, maka kamu akan susah sendiri. Dan bila kamu berteman dengannya, maka ia akan selalu menyakiti hati.”

Apabila ada orang bertanya kepadaku, “jika ditentang oleh musuh, apakah engkau diam?” Jawabku kepadanya: “Sesungguhnya untuk menangkal pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya. Sikap diam terhadap orang jahil adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan.”

Lalu Imam Syafi’i berkata: “Apakah kamu tidak melihat bahawa seekor singa itu ditakuti kerana ia pendiam? Sedangkan seekor anjing dibuat permainan kerana ia suka menggonggong?”


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.