Pekawanis bimbing usahawan wanita jana pendapatan

24 Mar 2022 • 11:57 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan mengadakan program realiti yang dianjurkan khas untuk usahawan wanita.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program itu bertujuan membantu usahawan-usahawan wanita menjana pendapatan menerusi penganjuran pelbagai kursus dan bimbingan.

“Program ini masih dalam perancangan dan kita akan mencari usahawan-usahawan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Mereka ini akan dilatih sehingga berjaya dengan kursus-kursus seperti pemasaran.

“Kita akan bekerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Platform Selangor (PLATS) untuk mencari usahawan-usahawan muda yang mahu memajukan perniagaan mereka. Pemenang program ini akan dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Pekawanis,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Apresiasi Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar semalam.

Tambah Masdiana, Pekawanis juga akan meneruskan program Ziarah Medik di setiap DUN dalam usaha meringankan beban pesakit untuk membeli ubat-ubatan.

“Menjelang Ramadan ini, kita akan menganjurkan program bubur lambuk, tadarus dan sumbangan Hari Raya,” katanya.