
KUANTAN - Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang juga pelabur utama di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) menambah pelaburan bernilai RM5 bilion bagi memperbesarkan operasi kilang mereka yang terletak di Gebeng, dekat sini.
Projek pembangunan fasa kedua itu merangkumi kawasan seluas 101.2 hektar dan bakal menjadi pemangkin kepada usaha penerokaan inovasi dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu juga dijangka menyediakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.
“Produk besi dan keluli adalah antara eksport utama negeri Pahang dan melalui projek fasa dua dilakukan Alliance Steel ini, ia dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran keluli daripada 3.5 juta tan sebelum ini, kepada 10 juta tan setahun.
“Saya juga dimaklumkan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan bagi projek berkenaan dengan 80 peratus daripadanya akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Pahang dan Alliance Steel di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan Pahang, manakala Alliance Steel pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Huijulin.
Mengulas lanjut mengenai MoU itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk menyediakan kemudahan kondusif bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke Pahang.
Katanya, sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.5 bilion, dengan RM987 juta adalah pelaburan domestik manakala pelaburan asing berjumlah RM9.8 bilion.
“Selain menyediakan prasarana yang baik, kita juga akan memastikan suasana politik kekal stabil di Pahang kerana ia sangat penting bagi meyakinkan pelabur.
“Kita berharap sasaran menarik pelaburan RM18 bilion untuk tahun ini dapat dicapai supaya ia dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
