
KUALA LUMPUR - Sebanyak 33,406 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam, meningkat sedikit berbanding 33,209 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,595,172 kes.
Katanya, jumlah yang direkodkan itu membabitkan 33,064 kes tempatan dengan 342 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 2 iaitu bergejala ringan, dengan jumlah 20,035 kes atau bersamaan 59.97 peratus. Sebanyak 13,157 kes pula berada dalam kategori 1 atau tidak bergejala.
“Sebanyak 92 kes iaitu 0.28 peratus pula berada dalam kategori 3, kategori 4 (69) serta kategori 5 (53),” katanya hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, daripada 214 kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan semalam, 60 kes iaitu 28.04 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan suntikan tersebut.
Katanya lagi, daripada jumlah itu, 101 kes sudah menerima dua dos vaksin manakala 53 kes lagi membabitkan individu yang sudah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 96 kes berumur 60 tahun ke atas, 70 kes mempunyai komorbiditi manakala satu kes membabitkan ibu hamil,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan 11 kluster baharu di negara ini.
Katanya, angka terbaharu itu menjadikan hingga kini terdapat 474 kluster yang masih aktif di negara ini.
Perkembangan itu secara keseluruhannya menjadikan hingga kini sebanyak 6,837 kluster sudah direkodkan di negara ini sejak wabak berkenaan dikesan.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bagi kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), setakat ini sebanyak 371 kes iaitu 131 daripadanya disahkan dijangkiti COVID-19 dengan 240 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
“Sebanyak 226 kes lagi membabitkan pesakit dalam ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, terdapat 27,143 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 3,250,793 kes. - Getaran, 6 Mac 2022
