Lelaki masuk ke lokasi tanah runtuh bekas anggota sukarela APM

16 Mar 2022 • 7:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Lelaki yang dikatakan memasuki lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini Khamis lalu adalah bekas anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah di ibu negara.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mazran Mohamad berkata, pelantikan lelaki itu tamat pada 9 Januari lalu dan keanggotaannya dalam pasukan itu tidak disambung.

"Individu itu telah diputuskan tidak disambung keanggotaan melalui peruntukan Kaedah 27 Kaedah-kaedah Pertahanan Awam (Pasukan Pertahanan Awam) 1970 (dan) tidak boleh didaftar semula di mana-mana premis serta Pejabat Pertahanan Awam seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan APM itu dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan lelaki terbabit dalam pasukan itu, selepas dia dikatakan masuk ke lokasi bencana yang merupakan kawasan larangan tanpa kebenaran dan dikhuatiri menjejaskan keselamatan pasukan carian serta mengganggu usaha mencari dan menyelamat.

Rakaman video, yang antara lain memaparkan seorang pegawai APM dilihat ingkar terhadap arahan Komander Operasi Bencana supaya tidak memasuki kawasan itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Pada Selasa, seorang pegawai kanan kerajaan adalah antara tujuh pegawai dan anggota APM yang dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung video tular semasa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 yang mengorbankan empat nyawa.

Mazran berkata APM akan terus bekerjasama dengan semua agensi sama ada dalam situasi aman atau semasa bencana dan mengalu-alukan semua warga Malaysia untuk memahami skop, peranan dan tanggungjawab APM.

"APM adalah sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah dan satu daripada pasukan penyelamat utama di zon merah.

"APM juga akan sentiasa bersama semua warganya yang berkhidmat mengikut peraturan dan perundangan sedia ada dalam melindungi nyawa dan harta benda,” katanya. - Bernama