Sultan Selangor puji inisiatif RM300 sebulan, manfaat 30,000 keluarga

14 Mar 2022 • 10:42 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan dengan penambahbaikan dilaksanakan dalam Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj beritah inisiatif itu menyasarkan 30,000 keluarga di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM108 juta.

“Penambahbaikan yang dilaksanakan adalah pemberian bantuan daripada RM200 kepada RM300 sebulan.

“Program Bingkas juga menjadi semakin maju dengan perubahan daripada penggunaan kad pintar kepada penggunaan e-poket melalui aplikasi SELangkah bagi tujuan transaksi penyaluran dan
pembayaran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Tuanku turut berkenan dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang melaksanakan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan B40.

“Usaha ini melalui penjanaan atau peningkatan pendapatan golongan B40 menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan yang dijalankan.

“Jumlah peruntukan yang dibelanjakan adalah sebanyak RM2.19 Juta dengan jumlah penerima manfaat seramai lima ratus dua puluh sembilan 529 orang.

“Kerajaan Negeri turut membantu membawa usahawan kecil ini menjalin usahasama strategik dengan pelbagai syarikat. Langkah ini bagi memastikan produk dan perniagaan mereka diperkasakan melalui pasaran lebih luas,” titah baginda.