Fasa peralihan endemik: Khairy ingatkan orang ramai jangan lalai

LocalPolitics
31 Mar 2022 • 11:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan untuk tidak lalai dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara bakal memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula Jumaat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dalam fasa itu, orang ramai masih perlu terus memakai pelitup muka serta mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek - Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan) untuk mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

Beliau berkata bagi memastikan mereka dan anak-anak dilindungi, pengambilan vaksin Covid-19 adalah digalakkan.

"Esok kita masuk fasa peralihan ke endemik. Gelombang Omicron terkawal. Angka Rt negara 0.88. Sistem kesihatan awam cukup kapasiti. But let’s not let our guard down (Tapi jangan biarkan kawalan kita lemah,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob awal bulan ini mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April (Jumaat). - Bernama