
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 34 tahun terlepas daripada dua hukuman penjara seumur hidup setelah dilepas dan dibebaskan daripada salah satu pertuduhan mengedar dadah terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada Selasa.
Hukuman penjara seumur hidup kedua tukang masak Noel Harry Hungan bagi tuduhan pengedaran dadah yang satu lagi juga dikurangkan kepada penjara 15 tahun.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Ravinthran Paramaguru dan Dato’ Abu Bakar Jais, yang mendengar rayuan melalui sidang video, sebulat suara membenarkan rayuan Noel bagi kedua-dua pertuduhan.
Noel, yang diwakili peguam Dato Seri Rakhbir Singh, telah merayu terhadap sabitan dan hukuman, sementara pihak pendakwaan merayu terhadap ketidakcukupan hukuman. Bagi pertuduhan pertama, mahkamah membatalkan sabitan kesalahan mengedar 2,811 gram ganja terhadap Noel dan menggantikannya dengan pemilikan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepadanya dari tarikh tangkap dan 10 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua mengedar 3,768 gram ganja, Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan kesalahannya dan mengetepi-kan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan serta memerintahkan Noel dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar.
Menurut Rakhbir, Noel dijangka bebas dalam tempoh 36 bulan. Pada 7 Jun 2018 Noel dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi dan dikenakan 15 sebatan bagi setiap pertuduhan di sini selepas dia didapati bersalah atas dua pertuduhan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Noel disabitkan kesalahan mengedar 2,811 gram ganja pada pukul 5.40 petang 10 Mei 2016, berhampiran tandas di pejabat Poslaju di sini dan mengedar 3,768 gram ganja lagi pada pukul 10.45 pagi 11 Mei 2016 di kawasan Kargo AirAsia di sini.
Setiap pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta Pindaan) 2017 memperuntukkan mana-mana orang yang didapati bersalah mengedar dadah berbahaya boleh dihukum sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
