
Kota Kinabalu: Program Sungkai On The Road 2022 akan dilaksanakan di beberapa laluan terpilih, Ramadan ini.
Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, agihan 300 set makanan itu dilakukan secara pandu lalu di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Bahagian Penyelidikan dan Dakwah akan melaksanakan program ini secara pandu lalu di beberapa kawasan terpilih pada setiap Rabu antara jam 2 hingga 4 petang,” katanya.
Beliau yang ditemui dalam Program Santai Fikrah Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan di Teluk Awam Likas, Sabtu lalu, memaklumkan pihaknya juga akan mengadakan majlis iftar bersama menteri dan agihan bakul makanan di peringkat daerah bagi mengeratkan silaturahim antara pemimpin, warga Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (Jheains) dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Arifin berharap agar solat terawih berjemaah di masjid dan surau dapat dilaksanakan pada Ramadan tahun ini dengan pematuhan ketat prosedur operasi standarad (SOP).
Ditanya berkaitan musalla yang dibentangnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini, beliau menjelaskan pelaksanaan itu bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing untuk memudahkan para pengunjung serta pengusaha baazar menunaikan solat.
Mengenai program santai fikrah itu, Arifin mendedahkan objektifnya adalah untuk mengukuhkan perpaduan ummah dalam acara santai dan membudayakan ilmu Islam melalui pelbagai aktiviti.
Program anjuran Jheains dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) itu juga bermatlamat untuk memasyarakatkan aktiviti keilmuan serta budaya Islam secara santai dan kreatif.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah tazkirah, solat fardhu berjemaah dan persembahan lagu-lagu kemanusiaan serta ketuhanan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

