
LAHAD DATU: Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan, sementara dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah Toyota Land Cruiser dan sebuah Perodua Bezza di Kilometer 30, Jalan Sandakan-Lahad Datu, berhampiran Ladang Mensuli, di sini pagi Isnin.
Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti sebagai Muhammad Isyam Samsudin, Masniati Yusuf dan kanak-kanak perempuan Ainul Mardhiah Abdullah, yang usia serta hubungan mereka masih belum diketahui ketika laporan ini.
Ketiga-tiga mangsa menaiki kereta Perodua Bezza bersama seorang mangsa yang cedera parah, Nur Wafa Izzayani Samsudin, 16, manakala seorang lagi yang parah merupakan pemandu Toyota Land Cruiser iaitu lelaki berusia 50 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Samsoa Rashid ketika dihubungi berkata, lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 9.04 pagi melalui MERS999.
“Setibanya di lokasi, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan sudah dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Samsoa berkata pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan kemalangan dan membuat pemeriksaan keselamatan sebelum operasi ditamatkan pada 12 tengah hari.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
