Berteduh Elak Hujan, 2 Lelaki Maut 'Disapu' Lori

7 Mar 2022 • 9:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dua lelaki maut selepas sebuah lori merempuh sembilan penunggang motosikal yang sedang berteduh dari hujan lebat di sebuah jejantas dekat Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, hari ini.

GURUN - Dua lelaki maut apabila sebuah lori merempuh sembilan penunggang motosikal yang sedang berteduh dari hujan lebat di sebuah jejantas dekat Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Adzli Abu Shah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang itu turut menyebabkan 7 individu lain mengalami kecederaan.

Ketika kejadian katanya, motosikal tersebut dipercayai diletakkan secara dua barisan di lorong kecemasan dengan kesemua penunggang berada di sisi kenderaan masing-masing.

"Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari belakang dan bergerak di lorong kiri lebuh raya telah merempuh semua motosikal yang berhenti di situ.

"Akibat kemalangan, dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dibawa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta bedah siasat," katanya.

image is not available
Lori yang terlibat dalam kemalangan maut di sebuah jejantas dekat Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, hari ini.

Menurut Adzli, mangsa yang maut masing-masing berusia 28 dan 31 tahun, berasal dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit, Alor Setar serta Taman Seri Marina di Kuala Kedah.

“Kedua-dua mereka difahamkan mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Adzli menambah, pemandu lori tersebut yang berusia 28 tahun dan berasal dari Bachok, Kelantan telah ditahan dan akan direman pagi esok bagi membantu siasatan.

"Ujian urin yang dijalankan mendapati pemandu lori tersebut negatif dadah dan dia juga didapati bebas daripada pengaruh alkohol.

"Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Getaran, 7 Mac 2022.