Penghuni 15 rumah di Bukit Permai 1 dinasihat pindah

13 Mar 2022 • 9:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Polis menasihatkan penduduk di 15 rumah di Jalan Bukit Permai 1, Ampang dekat sini, untuk mengosongkan kediaman dan berpindah sementara susulan berlaku gelongsoran tanah baharu semalam di kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata gelongsoran tanah agak besar itu dikesan berlaku pada 7 malam, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan atau kemusnahan harta benda.

“Kawasan Taman Bukit Permai 1 ini terletak di atas bukit iaitu berhampiran lokasi insiden cerun runtuh.

“Kita khuatir kejadian gelongsoran tanah yang baharu ini akan memberi kesan kepada satu deretan kediaman di kawasan itu, jadi kita nasihatkan mereka berpindah.

“Setakat ini, hanya satu lorong sahaja yang terbabit tetapi kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Farouk berkata keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kedudukan tanah tidak stabil dan boleh menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved