Penggantungan PAFA tidak jejas Perak FC

7 Mar 2022 • 10:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TINDAKAN Pesuruhjaya Sukan (PJS) menggantung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berikutan pelanggaran perlembagaan, tidak menjejaskan penyertaan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam menjelaskan, PAFA dan Perak FC merupakan dua entiti berbeza, selepas berlakunya proses penswastaan liga bola sepak tanah air.

“Perkara itu tidak timbul, kerana ia bukan dalam organisasi yang sama,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu media melaporkan bahawa Pesuruhjaya Sukan (PSJ), Ibrahim Mohd Yusof memaklumkan, PAFA digantung enam bulan ekoran pelanggaran perlembagaan persatuan sewaktu pemecatan keahlian 12 gabungan badan sukan tersebut, sebelum ini.

Keputusan penggantungan itu dicapai dalam satu mesyuarat dihadiri Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian Tajul Hasnan mewakili ahli gabungan yang dipecat, dan Pemangku Presiden PAFA Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, pada Isnin.

‘Kumpulan 12’ ahli gabungan tersebut adalah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.

Pada 25 November lalu, Muhammad Yadzan pada sidang akhbarnya mengumumkan pemecatan 12 ahli gabungan PAFA dan mendakwa kumpulan itu merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat.

Dakwanya, pemecatan itu berikutan pelanggaran Artikel 80 Perlembagaan PAFA mengenai keahlian, yang menyatakan tiada ahli gabungan yang boleh menjadi ahli dua persatuan, memandangkan sebelum ini 12 daripada 18 ahli gabungan mendesak mengadakan EGM. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved