Pemuda Pas Perak gesa aktiviti hiburan melampau dihentikan

LocalPolitics
7 Mar 2022 • 5:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

IPOH - Pemuda Pas Perak menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk budaya hedonisme atau hiburan melampau seperti persembahan pentas yang berlaku di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, budaya hiburan melampau yang dimurkai ALLAH seperti itu dibimbangi boleh mengundang bala bencana yang tidak diinginkan.

Jelas beliau, Pemuda Pas Perak meluahkan rasa kesal di atas penganjuran sebuah persembahan melibatkan orang ramai menari yang video suasana acara tersebut tular di media sosial pada Ahad lalu.

"Pemuda Pas Perak sependapat dengan majoriti masyarakat di negeri ini khususnya dan negara Malaysia umumnya bahawa ia tidak wajar dianjurkan lebih-lebih lagi ketika negara masih berhadapan dengan wabak Covid-19 yang menuntut semua memberikan kerjasama sebaiknya.

"Pihak berkuasa juga diharap dapat menjalankan siasatan telus dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur jika didapati bersalah. Dalam pada itu, pihak berautoriti juga mestilah bertindak bijak dalam memastikan langkah pencegahan dilaksanakan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Hafez berkata, video persembahan dan tarian yang tular itu juga telah mengundang kemarahan dan keresahan masyarakat.

Menurutnya, semua pihak perlu bermuhasabah serta saling bertanggungjawab dan memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sejahtera dengan mengamalkan cara hidup Islam.

Pada Ahad, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan acara persembahan hiburan diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah yang tular di media sosial tidak mendapat kebenaran.

Video tersebut memperlihatkan sekumpulan anak muda sedang menari beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal serta sebahagian mereka tidak memakai pelitup muka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved