
KUALA LUMPUR - Pengumuman Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik serta pembukaan semula sempadan tanah air mulai 1 April depan merupakan langkah positif dalam proses pemulihan negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia terutamanya bagi sektor-sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 seperti industri pelancongan dan perdagangan.
"Malaysia memainkan peranan yang penting dalam rangkaian bekalan dunia dan penutupan pintu sempadan yang berpanjangan semestinya akan menjejaskan posisi dan kebolehan daya saing Malaysia di peringkat perdagangan antarabangsa.
"Insya-ALLAH dengan pembukaan semula sempadan negara ini, Malaysia akan terus berada pada landasan yang tepat untuk pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan untuk berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus untuk tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa 'Peralihan Ke Endemik' serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.
Muhyiddin yang menyambut baik pengumuman berkenaan berkata keputusan itu adalah selari dengan syor Majlis Pemulihan Negara pada 8 Februari lepas.
Dalam pada itu, beliau berharap prosedur operasi standard (SOP) terutama di pintu sempadan Johor-Singapura tidak membebankan dan mudah difahami selain menyeru mereka yang ingin menggunakan kemudahan berkenaan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
"Dengan peralihan ke fasa endemik Covid-19, diharapkan agar rakyat Malaysia terus mengamalkan norma baharu dan cekal bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa terlindung. Bagi mereka yang masih belum mendapat dos penggalak, saya ingin menyeru kepada mereka untuk berbuat demikian secepat mungkin agar terlindung daripada kesan serius virus ini.
"Marilah kita bersama-sama menggunakan momentum pembukaan sempadan ini untuk terus menggembleng tenaga dalam usaha-usaha pemulihan negara. Saya berdoa agar Malaysia terus pulih dan terus dilindungi ALLAH SWT,” katanya. - Bernama

