Pindaan Akta 342 Tidak Dibentang Di Kabinet

LocalPolitics
19 Mar 2022 • 8:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Petugas Kementerian Kesihatan mengadakan pemeriksaan dalam satu ceramah yang diadakan oleh parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu. - Gambar Alif Omar

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membentangkan Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengenakan denda RM100,000 dan RM500,000, masing-masing kepada individu serta syarikat yang tidak mematuhi operasi standard (SOP).

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar Azim Abd Rahman

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan ketetapan itu, Akta 342 sedia ada masih kekal dengan denda sebanyak RM1,000 untuk kesalahan terbabit.

Katanya, keputusan itu disebabkan kerajaan mendapati jumlah denda tinggi yang mencecah ratusan ribu ringgit berat untuk dilunaskan.

“Saya ingin menegaskan di sini, seorang pembahas rakan kita membangkitkan mengenai isu Akta 342 yang menetapkan denda RM10,000 untuk individu dan RM500,000 untuk syarikat, ingin saya jelaskan bahawa akta tersebut tidak dibentangkan.

“Di Johor Bahru, baru-baru ini, saya pun kena lima kali, saya pun difahamkan Najib (Datuk Seri Najib Razak) pun kena lima kali. Kita kena RM5,000. Kalau RM100,000, saya kena RM500,000, tak mampu saya bayar. Duduk kat dalam (penjara) rasanya hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya terlebih dahulu mengadakan perbincangan dalam mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi mendengar pandangan berhubung perkara itu.

Jelasnya, hasil perbincangan terbabit, MT UMNO tidak bersetuju dengan kenaikan jumlah denda dicadang itu.

“Bagi mendengar keputusan (MT), kita kekalkan tidak akan membawa perkara itu ke Kabinet,” katanya. – Getaran, 19 Mac 2022