Jangan Menuduh Tanpa Bukti, Nanti Kena Saman

Opinion
14 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Jangan Menuduh Tanpa Bukti, Nanti Kena Saman

Minggu lepas waktu saya sedang bersantai minum petang bersama isteri, tiba-tiba saya terima mesej WhatsApp dalam “group family” tentang sotong ring. Mesej tersebut suruh orang ramai berhati-hati supaya jangan beli sotong ring kerana ia sebenarnya dubur babi.

Tergelak saya baca mesej yang dihantar salah seorang ahli keluarga saya tu. Biasalah, orang tua-tua ni, cepat percaya benda-benda merepek. Lagi-lagi kalau mesej tersebut dihantar oleh sahabat lama mereka, lagi cepatlah mereka percaya. Padahal kawan dia yang hantar tu pun kena scam dengan mesej palsu. Jadi, mulalah saya bertazkirah tentang bahayanya berkongsi info-info palsu. Siap saya ingatkan bahawa di Malaysia ni ada undang-undang tentang perkongsian berita-berita palsu dan kalau kita tak hati-hati, boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak yang dinamakan dalam mesej tersebut.

Sumber: Group Whatsapp Penulis

Lepas kena tazkirah, mesej tu pun dibuang.

Tapi pada hari ini, muncul pula satu berita dimana Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Shen Hua Resources, Encik Rodney Soon, iaitu syarikat pengeluaran sotong ring tersebut memberitahu bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang keatas dua individu yang mula-mula memfitnah dan mengkongsikan info salah tentang sotong ring jualan syarikat mereka dan mengaitkannya dengan dubur babi.

Sumber: Malay Mail

Inilah sebabnya, kalau nak jadi netizen yang menyebarkan “kebenaran” sekalipun, kita kena ada bukti yang kukuh dan bukan sekadar tembak ikut suka saja. Sekarang ni, JAKIM dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sudah pun mengambil (secara rawak) beberapa kotak produk sotong ring keluaran syarikat Shen Hua Resources dan dihantar ke makmal untuk meneliti sekiranya produk mereka ini benar seperti yang dituduh kedua-dua individu tersebut atau tidak. Sampel produk syarikat ini telah diambil JAKIM dan KPDNHEP pada dua hari yang berbeza iaitu pada 5 Mac di Kedah dan 7 Mac di Selangor.

Walaupun keputusan dari makmal belum diperoleh atau dikongsi pihak JAKIM dan KPDNHEP, mesej yang tular minggu lepas telah menyebabkan kerugian kepada syarikat Shen Hua Resources kerana ramai pengguna mulai ragu-ragu untuk membeli produk keluaran mereka. Ini merupakan sebab utama Encik Rodney Soon ingin menyaman kedua-dua individu yang menyebarkan fitnah tersebut.

Ya lah kan, siapa tak siapa akan marah kalau bisnes mereka difitnah dan mengakibatkan kerugian tanpa bukti atau sebab yang kukuh. Padahal berita tentang “sotong ring dibuat daripada dubur babi” ini disebarkan dalam blog-blog sensasi antarabangsa dimana isi beritanya pun menyatakan bahawa perkara ini tidak dapat dibuktikan.

Jadi, hati-hati ya kawan-kawan. Sesetengah perkara tu jangan cepat melatah dan dikongsikan tanpa usul periksa. Kalau ia mengakibatkan kerugian kepada suatu individu atau entiti, mereka mempunyai hak untuk mengeluarkan saman. Kita nak cekau duit dimana pula untuk bayar saman? Lebih-lebih lagi kalau terbukti tuduhan kita tak berasas atau fitnah. Berat nak tanggung — di dunia dan di akhirat.

Harap-harap keputusan daripada makmal JAKIM dan KPDNHEP akan diperoleh segera. Sekiranya betul tiada unsur-unsur Haram dalam produk tersebut, bolehlah kita masak sambal tumis sotong ring tanpa was-was!


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.