PAS Tidak Terjejas Mohd Khairuddin Keluar Parti

Politics
16 Mar 2022 • 5:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Samsuri berkata tindakan Mohd Khairuddin keluar dari PAS tidak akan mengugat dan memecah-belahkan parti.

KUALA NERUS - Tindakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali  keluar dari PAS tidak akan menggugat dan memecah-belahkan parti, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pemimpin datang dan pergi merupakan perkara biasa namun ia tidak akan sesekali menghakis kestabilan dan keutuhan sokongan akar umbi terhadap parti.

“Kita bukan tidak kisah tapi itu pilihan masing-masing, tiada konsep paksaan dalam negeri yang mengamalkan demokrasi ini.

“Kalau orang tak nak bersama mana boleh paksa, itu terpulang kepada diri masing-masing,” katanya kepada media selepas program Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik RPMM di sini.

Ditanya apakah tindakan lanjut PAS berhubung keputusan Mohd Khairuddin itu, beliau memberitahu ia akan dibincangkan dalam mesyuarat parti Sabtu nanti.

Isnin lepas, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan keluar daripada PAS.

Beliau berkata, tindakan diambil itu selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan PAS, iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dan keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada pertemuan di Bangunan Parlimen. - Getaran, 16 Mac 2022