
KUALA LUMPUR - UMNO menggariskan lima teras utama sebagai agenda parti itu dalam usaha melestarikan politik negara, antaranya pemulihan ekonomi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, teras kedua melibatkan peluang pekerjaan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas hal ehwal pekerjaan negara melibatkan anak-anak muda.
"Teras ketiga berkaitan melahirkan lebih ramai usahawan berwibawa antaranya mempermudahkan proses pinjaman kredit kepada usahawan baharu dengan melonggarkan syarat-syarat pinjaman.
“Teras keempat ialah meneruskan agenda integrasi pendidikan supaya soal duniawi dan ukhrawi bergerak seiring manakala teras kelima pula adalah reformasi agenda rakyat satu keperluan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan.
”Justeru perhimpunan kali ini perlu mendengar suara akar umbi yang meminta agar mandat baharu diperoleh melalui PRU15. Janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis pun hujan jatuh ke bumi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.
Sementara itu menyentuh mengenai memorandum persefahaman (MoU) politik yang dimeterai kerajaan dan pembangkang, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu beranggapan ia mungkin strategi pihak lawan untuk melemahkan parti.
Oleh yang demikian katanya, UMNO perlu sedar bahawa pihak lawan tidak pernah berhenti untuk menghancurkan parti.
"Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita kerana itulah cara boleh membunuh kita.
"Sebenarnya, mereka tidak pernah sukakan kita. Bacalah perlembagaan setiap parti lawan. Sedarlah, berhati-hati. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?,” ujarnya.
Terdahulu, perhimpunan meluluskan usul pelantikan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Datuk Saripah Aminah Syed Mohamad bagi membantu Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengendalikan persidangan.
