Guna Pakaian Dalam Lampias Nafsu, Warga Emas Ditahan

15 Mar 2022 • 10:08 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perbuatan tidak senonoh suspek berusia 62 tahun ini dirakamkan oleh jiran mangsa. - Gambar tangkap layar dari media sosial

KUALA LUMPUR - Tindakan tidak senonoh seorang lelaki warga emas yang menjadikan pakaian dalam penduduk di Flat Sri Sentosa, Jalan Klang Lama sebagai bahan melampias nafsu, akhirnya menerima padah apabila ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 62 tahun terbabit dikatakan mengambil pakaian dalam dijemur berhampiran flat berkenaan sambil beronani.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata perbuatan tidak senonoh suspek disedari jiran mangsa dan sempat merakam tindakan lelaki terbabit.

Menurutnya, jiran itu kemudian menghubungi mangsa untuk memaklumkan kejadian.

“Hasil risikan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang tinggal di Puchong, Selangor untuk siasatan lanjut.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan permohonan reman turut dibuat hari ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amihizan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Sebarang maklumat mengenai kes jenayah perlu dilaporkan segera kepada pihak polis di Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – Getaran, 15 Mac 2022