Lelaki ditemukan lemas di Air Terjun Lata Macau, KKB

20 Mar 2022 • 8:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Aktiviti riadah empat sekawan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi di Air Terjun Lata Macau, Kuala Kubu Bharu dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 11 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu, Bukit Sentosa dan Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat mangsa Low Yu Jing, 26, dijumpai di dasar sungai kira-kira 50 meter dari lokasi mereka mandi pada 5 petang.

“Kami berdepan kesukaran membawa keluar mangsa kerana kawasan gaung dan tebing yang curam. Lokasi kejadian juga terletak kira-kira dua jam perjalanan dari pos kawalan bencana Kampung Orang Asli Pertak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-Bernama