
IPOH: Pendapatan rendah dan kemiskinan, selain kurang pendidikan kesihatan reproduktif seksual serta kurang atau tiada kemahiran keibubapaan antara punca yang dikenal pasti dalam isu perkahwinan bawah umur di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata punca lain adalah kurang atau tiada akses kepada pendidikan, serta stigma masyarakat dan undang-undang yang masih membenarkan perkahwinan bawah umur.
Beliau berkata Enakmen Keluarga Islam Perak 2004, menetapkan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki, manakala 16 tahun bagi wanita, kecuali permohonan perkahwinan mendapat kebenaran secara bertulis daripada Hakim Syarie dalam hal dan keadaan tertentu.
“Bagi mendaftarkan perkahwinan, pemohon perempuan mestilah genap 16 tahun dan jika usia itu kurang daripada 18 tahun perlu mendapat kelulusan di bawah Seksyen 21(2) oleh Menteri Besar Perak yang telah diturun kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.
“Bagi lelaki pula, mesti genap 18 tahun dan jika belum mencapai 21 tahun perlu mendapat persetujuan bertulis daripada ibu atau bapa,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Sultan Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak di sini, hari ini.
Menurutnya kerajaan negeri melalui Wanita Perak, akan mengadakan sesi perbincangan dan advokasi dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), JPN, Jabatan Kehakiman, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melihat cadangan untuk meningkatkan had umur perkahwinan tersebut.
Wan Norashikin berkata perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah menerusi pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.
“Saya menyeru semua pihak yang berkepentingan daripada pemimpin tertinggi hingga ke pemimpin akar umbi supaya lebih prihatin dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan menangani perkahwinan bawah umur di negeri ini demi menjamin masa hadapan anak-anak kita,” tambahnya.-Bernama


