Harga Makanan Bazar Ramadan Terengganu Dijangka Naik

27 Mar 2022 • 9:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Nurkhuzaini berkata kenaikan harga juadah bazar Ramadan di Terengganu tidak dapat dielakkan ekoran kos bahan mentah yang mahal.

KUALA NERUS - Harga juadah bazar Ramadan di Terengganu dijangka meningkat ekoran kenaikan harga bagi barangan mentah.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan terutama jika krisis perang Russia dan Ukraine terus berlarutan.

“Jika perang berpanjangan, peningkatan harga barang pasti tidak dapat dielakkan.

“Russia dan Ukraine merupakan pengeluar gandum terbesar dunia jadi tentunya keadaan ini memberi implikasi kepada peniaga kuih dan roti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Karnival Usahawan Terengganu di dataran jambatan angkat di sini hari ini.

Menurut beliau, peniaga dinasihati agar tidak menaikkan harga juadah secara keterlaluan, walaupun mungkin terbeban dengan kenaikan kos barangan mentah berkenaan.

“Kerajaan negeri bersama agensi yang bertanggungjawab akan menggiatkan pemantauan agar tiada unsur-unsur pencatutan,” katanya. - Getaran, 27 Mac 2022