
SHAH ALAM, 23 MAC: EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar berkata status Indeks Kualiti Air (IKA) di empat sungai utama di Selangor diperakui bersih berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurut Hee Loy Sian, menurut JAS status IKA empat sungai itu dikategorikan sebagai bersih sehingga 1 Mac lalu, iaitu di lembangan Sungai Selangor adalah 86, Sungai Langat (91), Sungai Tengi (87) dan Sungai Bernam (93).
“Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat adalah lembangan sungai utama yang membekalkan lebih 90 peratus sumber bekalan air kepada penduduk di Selangor dan Lembah Klang serta Putrajaya.
“Keadaan sumber air atau air sungai ini mampu dirawat oleh kesemua 34 loji rawatan air (LRA) di Selangor dan mematuhi piawaian kualiti air minum kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagihkan kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa memberi tumpuan dalam aspek kawalan pencemaran dan pemuliharaan kualiti sumber air di negeri ini bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat digunakan.
“Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menyeru semua pihak supaya prihatin terhadap aktiviti yang
berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya sungai dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera,” katanya.
The post EXCO: Empat sungai di Selangor disahkan bersih, patuhi piawaian appeared first on Selangorkini.
