
Kota Kinabalu: Seorang bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa atas 13 pertuduhan memalsukan salinan buku rekod kesihatan ibu dan bayi bagi isteri dan anaknya, untuk mengeluarkan 14 sijil kelahiran.
Mhd Sofian Ishak (gambar), 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, kepada semua pertuduhan terhadapnya pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama, Mhd Sofian didakwa memalsukan salinan buku rekod kesihatan ibu iaitu Zawani Shahirah Abdul Majid dan buku rekod kesihatan kanak-kanak dan bayi iaitu Shahleeya Nafeeza Sofia Mhd Sofian bagi mengeluarkan dua sijil kelahiran bernombor siri SB732728 dan SB732729.
Bagi pertuduhan kedua hingga ketiga belas, dia didakwa memalsukan dokumen sama milik orang yang sama untuk mengeluarkan 12 lagi sijil kelahiran dengan nombor siri SB709405, SB732471, SB732234, SB 732907, SB732199, SB732181, SB732184, SB732216, SB732500, SB732472, SB709402 dan SB7325040.
Kesalahan itu didakwa berlaku di pejabat JPN di sini antara 13 Nov 2012 dan 21 Jan 2013.
Kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan dan melepaskan Mhd Sofian dengan ikat jamin RM10,000 berdeposit RM6,000 dan seorang penjamin tempatan.
Mhd Sofian juga diperintahkan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali, dan pasportnya, jika ada, akan disimpan oleh mahkamah sehingga pelupusan kesnya.
Mahkamah turut memberi amaran kepada Mhd Sofian supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan penjamin tempatan serta beberapa syarat.
Bagaimanapun, Mhd Sofian yang tidak diwakili, meminta jumlah ikat jamin
dikurangkan kepada RM2,000 dengan mengatakan dia tidak lagi bekerja dengan JPN kerana berhenti kerja sejak 2015 dan kini bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap.
Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia perlu menjaga bayinya berusia tujuh bulan dan isterinya yang bekerja di syarikat swasta.
Mhd Sofian juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah diisytiharkan muflis pada 2016 dan keadaan kewangannya tidak baik.
Mahkamah menasihatkan Mhd Sofian supaya mendapatkan peguam untuk mewakilinya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
