Polis Tuaran bongkar sindiket curi motosikal

17 Mar 2022 • 12:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Kegiatan sindiket mencuri motosikal di daerah ini terbongkar apabila salah seorang suspek ditahan kurang 24 jam selepas melarikan sebuah motosikal di Kampung Tutu Selupoh di sini, Selasa.

Kira-kira jam 1 pagi Selasa, polis menyerbu suspek lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Bolong, Kampung Kota, Tuaran sebelum menemui empat buah motosikal disyaki dicuri.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pada 14 Februari lalu, pihaknya menerima aduan kes kehilangan motosikal daripada seorang pengadu di Kampung Tutu Selupoh, jam 12.20 tengah pagi.

Katanya, pengadu mengatakan sempat mendengar bunyi ketukan besi sebelum melihat kelibat seorang lelaki melarikan diri dengan menunggang motosikal miliknya.

“Pengadu yang tidak sempat menghalang suspek kemudiannya bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk membuat laporan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tuaran menjalankan Ops Kesan/Lejang/Cantas mengesan suspek sebelum ditahan,” katanya.

Menurut Mohd Hamizi, sebaik menahan suspek di lokasi, pemeriksaan lokasi dijalankan dan pihaknya turut menemui empat buah motosikal yang disyaki dicuri di Tuaran.

“Salah satu motosikal terbabit sedang dileraikan dan hasil pemeriksaan nombor pendaftaran terbabit, ia milik pengadu yang kehilangan motosikal di Kampung Tutu Selupoh”.

“Pihak polis percaya modus operandi (MO) suspek adalah mencuri motosikal di Tuaran pada waktu tengah malam atau pagi sebelum disimpan di lokasi tertentu untuk dileraikan lalu dijual kepada pembeli baharu,” katanya.

Mohd Hamizi menambah, pihaknya juga masih mengesan seorang lagi rakan subahat suspek yang masih bebas manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.