Angkara Cemburu, Isteri Maut Ditetak Suami

23 Mar 2022 • 6:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan calitan COVID-19 dan bedah siasat.

KOTA KINABALU - Gara-gara cemburu, nyawa seorang wanita tergadai apabila lehernya ditetak suami, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku di bilik sewa pasangan terbabit yang terletak di tingkat 3, Jalan Segama di sini.

Menurut beliau, suspek yang berusia 31 tahun menghubungi talian kecemasan 999 pada jam 11.47 malam tadi dan memaklumkan telah menetak isterinya menggunakan sebilah pisau.

“Polis yang tiba di lokasi kemudian menemui seorang wanita berusia 23 tahun yang terbaring berlumuran darah di atas tilam.

“Siasatan awal mendapati, pasangan terbabit bertengkar sekitar jam 10.50 malam menyebabkan suspek naik berang dan mengambil sebilah pisau di dapur, sebelum menyerang isterinya,” katanya di sini.

image is not available
Mohd Zaidi bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rosdi Mat Jusoh memeriksa lokasi kejadian di bilik sewa tingkat 3, Jalan Segama, Kota Kinabalu.

Mohd Zaidi memberitahu, mangsa mengalami luka parah di leher kanan, muka, tangan serta perut dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Suspek yang masih berada di lokasi ditahan ketika hendak menyerah diri dan polis turut merampas sebilah pisau serta parang pemotong daging, dengan satu daripadanya dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Cemburu dipercayai motif utama kejadian, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek yang juga seorang buruh binaan direman untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I bagi menjalani ujian COVID-19 serta proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. - Getaran, 23 Mac 2022