Pemain Dram Foo Fighters, Taylor Hawkins Meninggal Dunia

Music
26 Mar 2022 • 2:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar: Valeri Macon / AFP

Pemain dram terkenal kumpulan Foo Fighters iaitu Taylor Hawkins telah meninggal dunia pada usia 50 tahun.

Berita sedih itu diumumkan oleh kumpulan berkenaan menerusi akaun-akaun media sosial rasmi mereka.

"Keluarga Foo Fighters berasa sedih dengan pemergian Taylor Hawkins. Semangat muzik dan tawanya akan kekal bersama kita semua selama-lamanya," tulis mereka dalam kenyataan itu.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Foo Fighters (@foofighters)

Walau bagaimanapun, punca kematian pemain dram kesayangan ramai itu tidak didedahkan.

Hawkins sebelum ini bermain dram untuk penyanyi Alanis Morissette dan pernah bermain untuk konsert Morissette di Malaysia pada tahun 1995.

Taylor menyertai Foo Fighters pada tahun 1997 selepas pemain dram asal kumpulan itu berhenti dan telah bersama mereka sejak itu.

Diketahui umum bahawa pendiri Foo Fighters, Dave Grohl adalah salah seorang pemain dram yang sangat dikagumi dalam sejarah rock, tetapi Hawkins berjaya membawa gaya dan tenaganya sendiri kepada kumpulan itu.

Terkenal dengan perwatakan ceria dan bertenaga, mendiang sering menyanyi semasa konsert-konsert Foo Fighters dan di dalam rakaman B-side. Hawkins juga banyak menjadi penulis bersama lagu-lagu kumpulan ini serta memainkan watak penting dalam rakaman album-album studionya.

Kumpulan rock ternama ini dijadualkan untuk membuat persembahan di Festival Lollapalooza di Brazil pada Ahad ini dan di Anugerah Grammy yang akan datang.

Mereka juga dijadualkan untuk mengadakan konsert jelajah pada bulan Disember ini di America Utara, Eropah, Australia dan New Zealand. Namun belum ada pengumuman terkini tentang persembahan-persembahan ini.

Dilahirkan Oliver Taylor Hawkins di Texas pada tahun 1972, bakatnya teserlah kepada dunia semasa konsert jelajah Morisette pada tahun 1995 untuk album Jagged Little Pill. Sebelum itu, Hawkins cuma bermain dram untuk kugiran-kugiran kecil di California, tempat dia membesar.

Kehilangan Taylor nyata mengundang kesedihan peminat rock & roll di seluruh dunia termasuklah rakan-rakan selebriti seperti Ozzy Osborne, Tom Morello, Paul Stanley dan ramai lagi yang meluahkan kesedihan mereka di Twitter.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. - The Vibes, 26 Mac 2022