
KUALA LUMPUR - Penentuan punca dan kategori kanun keseksaan sesuatu kes jenayah perlu dibuat menerusi siasatan terperinci pihak polis dengan berlandaskan undang-undang sedia ada.
Justeru, tiada istilah pihak polis boleh melepaskan sesuatu kes kematian dan mengklasifikasikannya mengikut kategori kanun keseksaan tertentu ‘sesuka hati’ kerana ia bergantung kepada hasil siasatan terperinci serta laporan pakar bidang.
Penganalisis Jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, bagi kes kematian, pihak polis perlu mendapatkan laporan daripada pihak forensik sebelum ketetapan kategori kes dilakukan, sama ada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
“Apabila pihak forensik keluarkan sahaja laporan kematian, polis akan mengenal pasti semula kes tersebut untuk dikategorikan sebagai kes apa, iaitu mati mengejut dan sebagainya.
“Kecuali pihak keluarga mangsa yang tidak berpuas hati, melakukan desakan atau mahukan pengendalian daripada pihak lain, ini kena kemuka di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Shahul Hamid berkata, berhubung insiden kanak-kanak berusia 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri yang meninggal dunia dipercayai akibat leher terjerut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan di Negeri Sembilan bulan lalu, beliau yakin polis menjalankan siasatan sepenuhnya.
Jelasnya, beliau juga percaya polis tidak menyembunyikan apa-apa bahan bukti kerana ia membabitkan kematian bayi.
Beliau berkata, justeru desakan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pengendalian kes itu tidak sewajarnya dibangkitkan memandangkan siasatan polis berdasarkan laporan forensik dan bukti.
“Apa pun, polis kena buat siasatan seawal mungkin kerana ini menyebabkan persoalan awam dan netizen mendesak untuk tahu apa sebab sebenarnya.
“Jadi polis perlu lakukan siasatan teliti dan laporan lengkap untuk diumumkan kepada media dan sebagainya supaya orang ramai tahu, tapi kalau pihak berkuasa ambil tindakan lama, lambat untuk dikeluarkan hasil siasatan, ini akan menimbulkan kecurigaan,” katanya.
Mengulas mengenai persoalan mengapa pihak tertentu, seperti pengusaha pusat asuhan berkenaan tidak direman, Shahul Hamid berkata, proses siasatan tidak semestinya memerlukan individu ditahan.
“Siasatan boleh dibuat tanpa orang itu ditahan, namun ini menimbulkan persoalan kepada netizen yang mempersoalkan kenapa tak ditahan.
“Kemungkinan pada peringkat awal polis tidak ada jumpa unsur jenayah sebab itu tak ditahan, kalau nampak ada peralatan, ada unsur jenayah, pasti kena tahan,” katanya.
Ditanya implikasi boleh tercetus sekiranya perkembangan kes itu masih tidak diumumkan dalam waktu terdekat atau tiada tindakan susulan segera diambil polis, Shahul Hamid berkata, sudah tentu netizen akan curiga dan tidak berpuas hati.
“Keluarga mangsa akan terasa sangat kehilangan dan perlu tahu apa sebenarnya berlaku, perkara ini kedua-dua pihak iaitu polis dan keluarga kena sensitif.
“Bila polis dan keluarga mangsa itu terkesan dengan desakan netizen, ini yang kita tak nak kerana akan kacau bilau siasatan, itu kena ambil kira, kena jalankan siasatan segera dan telus,” katanya. - Getaran, 29 Mac 2022


