600 Warga Asing Dijangka Tiba Di Tawau Setiap Hari Menjelang April

11 Mar 2022 • 8:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
CIQS Tawau bersedia menerima kehadiran pelawat asing dari Indonesia sebaik sempadan negara dibuka mulai 1 April ini.

TAWAU - Terminal Feri Tawau (TFT) dijangka menerima sehingga 600 warga asing setiap hari apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April depan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata, sebahagian besar rakyat asing itu adalah dari Indonesia, memandangkan TFT merupakan pintu masuk utama khususnya dari Nunukan dan Tarakan.

"Setakat ini, kami (peringkat daerah) menetapkan semua pelawat daripada luar negara yang masuk ke Tawau menerusi TFT perlu menerima vaksinasi lengkap sebagai syarat masuk ke sini.

"Ini termasuk rakyat tempatan dan asing, malah mereka juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum tiba di sini," katanya.

image is not available
Feri adalah pengangkutan utama dari Indonesia ke Tawau menerusi TFT.

Tambahnya, sama seperti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19, hanya mereka yang negatif virus berkenaan akan dibenarkan masuk.

"Mereka juga perlu menjalani kuarantin di hotel ditetapkan dengan kos penginapan ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

"Dalam pada itu, kami turut menjalin kerjasama dengan pengusaha bot bagi memastikan semua penumpang mereka mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

image is not available
Dr G Navindran

Menurut Dr Navindran, sehingga kini, pihaknya sudah melakukan persediaan (menerima kemasukan pelawat luar negara) di semua pintu masuk antarabangsa di Tawau termasuk Pelabuhan Antarabangsa, Lapangan Terbang Tawau dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau.

"Justeru, saya berharap penduduk Tawau segera mengambil dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan sebagai persediaan perlindungan kendiri daripada jangkitan yang mungkin dibawa pelawat," katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pintu sempadan antarabangsa Malaysia akan mula dibuka 1 April ini, selaras dengan keadaan negara yang bakal memasuki fasa endemik COVID-19. - Getaran, 11 Mac 2022