Sektor Pertanian Terengganu Rugi RM10 Juta Akibat Banjir

7 Mar 2022 • 7:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penternak ikan air tawar Mohd Zelan Mat, 55, (kiri) dan Marwan Bidin, 34, meninjau ikan patin yang mati akibat banjir di Kampung Beladau Selat, baru-baru ini. - Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU - Sektor pertanian di Terengganu dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM10 juta akibat banjir yang melanda negeri itu akhir Februari lalu.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata, Tabung Bencana Negeri telah diaktifkan bagi membantu pengusaha yang terjejas.

“Cuma isunya kita di sini, dana Tabung Bencana Negeri hanyalah RM1 juta sedangkan jumlah kerugian yang dianggarkan RM10 juta.

“Kerana itu kita sudah membentangkan data awal kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diberi perhatian. Insya-Allah kerajaan akan pertimbangkan untuk meningkatkan jumlah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

image is not available
Dr Azman Ibrahim

Menurut beliau, antara sektor yang terjejas teruk ialah penanaman padi dan pengusaha ikan sungai.

“Kita anggarkan lebih 1,000 hektar melibatkan kawasan penanaman padi yang musnah di kawasan Besut dan Setiu.

“Turut terjejas ialah sektor akuakultur ternakan ikan tawar boleh dikatakan sangkar ikan pengusaha yang diletakkan sepanjang Sungai Terengganu rosak dan ikan juga mati kerana air yang berlumpur,” katanya.

Pada masa sama, Azman tidak menolak pengeluaran padi di negeri itu akan terjejas ekoran kemusnahan tanaman tersebut.

“Memang akan terjejas, jadual penanaman dan pengeluarkan kita mungkin akan terlewat dari musim yang biasa dilakukan.

“Tapi kita akan buat penanaman semula padi, bijih benih padi akan ditabur semula,” katanya. - Getaran, 7 Mac 2022