
KUALA LUMPUR - Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 1,107 aduan mengenai penjualan ubat secara dalam talian yang tidak memiliki pendaftaran dengan pihaknya pada tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sepanjang tahun lalu sehingga Januari ini, sebanyak 1,332 premis menjual ubat tidak berdaftar diserbu.
“Dari tahun lepas sehingga Januari 2022, sebanyak 1,332 premis sudah diserbu, iaitu 1,202 pada tahun lepas dan pada Januari kita sudah serbu 130 premis yang menjual ubat tidak berdaftar ini,” katanya menerusi video di Twitter hari ini.
Gunakan aplikasi NPRA Product Status untuk menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk yang dijual secara online. Ubat atau produk yang tidak berdaftar boleh memudaratkan dan tidak dijamin kualiti, keberkesanan dan keselamatannya. pic.twitter.com/ISDKSgrTVG
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) March 9, 2022
Khairy berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa ubat tidak berdaftar adalah berbahaya.
“Jadi saya minta tolong sangat jangan ambil pil kurus, pil kuat atau segala pil yang dijual menerusi dalam talian tetapi tidak berdaftar.
Jelasnya, pengambilan ubat tidak berdaftar dengan pihak KKM boleh memudaratkan kerana tidak dijamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan, selain berisiko memberi kesan sampingan atau kesan buruk kepada kesihatan pengguna, antaranya kerosakan buah pinggang dan organ dalaman.
Secara sarkastik, Khairy turut meluahkan rasa pelik terhadap sikap segelintir individu yang berani membeli ubat tidak berdaftar menerusi pasaran dalam talian, tetapi menolak pengambilan vaksin COVID-19 walaupun sudah berdaftar dan selamat.
“Paling pelik vaksin yang sudah berdaftar sebagai selamat, ada yang tak nak ambil tapi pil kurus, pil kuat dalam talian yang tak ada pendaftaran dengan KKM laris ya.
“Jadi saya minta tolong sangat jangan ambil pil kurus, pil kuat atau segala pil yang dijual menerusi dalam talian tetapi tidak berdaftar,” katanya.
Justeru, Khairy meminta orang ramai membuat semakan berhubung kesahihan nombor pendaftaran sesuatu produk menerusi saluran betul bagi memastikan ia didaftar secara sah sebelum membelinya.
“Sebelum membeli sesuatu produk atau ubat, anda boleh semak kesahihah nombor pendaftaran produk tersebut dengan melayari www.npra.gov.my atau hubungi talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status,” katanya.
“KKM mengambil serius isu penjualan ubat tidak berdaftar, berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan, terutama dijual dan dipasarkan dalam talian.
“Pastikan ubat itu berdaftar sebelum anda membeli kerana produk tiada pendaftaran KKM sangat bahaya,” katanya. – Getaran, 9 Mac 2022
